Tesla dilaporkan telah tawarkan naik taraf Acceleration Boost untuk Model 3 Long Range AWD versi facelift (Highland) di beberapa pasaran seperti Australia dan China. Naik taraf perisian ini mempertingkat prestasi motor EV ini untuk bolehkannya pecut daripada 0 ke 100km/j dalam masa 3.8 sahaja berbanding 4.4s sebelum ini. Angka itu menghampiri prestasi Model 3 Performance 3.1 saat.
Harga Acceleration Boost di Australia dan China
Buat pengguna di Australia dan China, mereka masing-masing boleh mendapatkan naik taraf ini masing-masing pada harga AUD3,000 (~RM8,720) dan RMB14,100 (~RM8,690).
Dengan prestasi yang hampir menyamai varian Performance, kelihatan varian Long Range AWD yang lebih murah ada kelebihan kerana ia punyai jarak gerak yang lagi jauh.
Sebagai perbandingan, Model 3 Long Range AWD yang ada jarak gerak 629km (WLTP) berharga AUD64,900 sementara Model 3 Performance AWD yang ada jarak gerak 528km (WLTP) berharga AUD80,900.
Kalau Acceleration Boost ditambah sekalipun, harga keseluruhannya adalah AUD67,800 masih jauh lagi murah daripada varian prestasi Tesla Model 3.
Pengguna Tesla di A.S masih perlu tunggu
Malangnya, pengguna Tesla di A.S masih belum boleh merasai Acceleration Boost. Ia dijangka akan ditawarkan penghujung tahun 2024 ini. Apabila ada, mereka perlu pastikan kenderaan mereka menjalankan perisian versi 2024.20. Sebenarnya Acceleration Boost ini sudahpun ditawarkan pada AWD versi sebelum facelift sejak tahun 2019.
Walaupun menerima boost pada segi pecutan, Model 3 Long Range AWD masih lagi tewas pada segi kelajuan maksimum. Varian Performance AWD ada mode Track yang menyahkunci kelajuan maksimum daripada 201km/j kepada 261km/j.
Pengalaman kami
Kami pernah memiliki Tesla Model 3 LR (Bluestar) dan telah membeli yang dipanggil Acceleration Boost berharga RM8500 pada ketika itu. Anda memang akan dapat rasa perbezaan pecutan yang lebih pantas 3.8 saat namun kebimbangan kami ketika itu adalah jarak perjalanan yang dikatakan makin singkat disebabkan motor yang lebih berkuasa (ikut logik ubah suai kenderaan ICE). Tetapi tidak, anda masih dapat jarak yang hampir sama sahaja melainkan anda selalu memecut laju ketika dalam atau luar bandar. Namun, Tesla Model 3 Performance lebih banyak aksesori dan software tambahan berbanding Model 3 LR yang hanya dapat pecutan yang lebih pantas.
