Mercedes-Benz global pada 14 Mac 2025 tempoh hari telah mengumumkan model CLA 2025. Ia adalah CLA generasi ketiga dan perkara unik model kali ini adalah ia hadir dalam model EV sahaja buat masa ini dengan peluasan ke model ICE dalam masa yang akan datang.
Mercedes-Benz Malaysia dalam waktu yang sama sudahpun membuka laman pendaftaran minat untuk CLA 2025 ini di laman web mereka.
CLA dengan seni bina 800V
Pada pelancarannya, CLA 2025 ditawarkan dalam dua varian:
- CLA 250+ (RWD) – 272PS, 100km/j dalam masa 6.7s, sehingga 792km jarak gerak (WLTP)
- CLA 350 4Matic (AWD) – 354PS, 515Nm, 100km/j dalam amsa 4.9s, sehingga 771km (WLTP)
Untuk maklumat anda, CLA 2025 kali ini dibangun berasaskan Mercedes-Benz Modular Architercture (MMA). Padanya terdapat Electric Drive Unit 2.0 (EDU 2.0) dan juga seni bina elektrik 800V. Ia membolehkan CLA 2025 menerima arus DC pada paras setinggi 320kW. Dilaporkan yang 10 minit mengecas berikannya jarak gerak sehingga 325km.
Unit bateri CLA 2025 mengandungi 85kWh tenaga dalam bentuk lithium-ion dan mengguna pakai anode jenis silikon oksida dan grafit untuk mengurangkan penggunaan kobalt sebanyak 30%, tanpa mengorbankan kepadatan tenaga per unit.
Seperti Porsche Taycan, motor elektrik pada CLA 2025 ada dua gear kelajuan untuk menyeimbangkan prestasi dan kecekapan tenaga.
CLA 2025 dengan grill bintang bercahaya
CLA generasi ketiga mengekalkan rekaan coupe 4 pintu dengan beberapa perubahan. Grill CLA 2025 berbendu trapezoid dengan lampu depen melintang penuh. Lampu DRL pula kini berbentuk bintang, sama seperti lampu belakang untuk berikannya identiti yang tersendiri. Di bahagian kabin, siling panoramic kaca datang sebagai standard bukan saja anda boleh tengok ke luar, malah ruang kabin juga katanya menjadi lebih lapang.
MB.OS dan MBUX: Lebih pintar dan intuitif
Pada CLA 2025 juga Mercedes-Benz memperkenalkan Mercedes-Benz Operating System (MB.OS).
Sistem operasi tersuai ini ada pembantu maya MBUX berasaskan AI diperkasa ChatGPT dan Microsoft Bing. Di bahagian kabin, pemandu terima digital instrumen sebesar 10.25” dan untuk sistem inforia, terdapat sepasang skrin 14” yang besar dinamakan Superscreen.CLA 2025 juga ada dijual dalam konfigurasi tanpa Superscreen yang digantikan dengan papan pemuka generik bercahaya.
Navigasi pada CLA 2025 dipacu Google Maps dan terdapat AI yang mengira secara automatik jarak gerak dan mencadangkan stesen pengecas yang sesuai.
MB.DRIVE: Level 2 ADAS
Suite bantu pandu aktif Mercedes-Benz dinamakan MB.DRIVE. Adaptive Auto Cruise padanya dikenali sebagai DISTRONIC Distant Assist. Untuk bayaran tambahan pengguna boleh menyahkunci MB.DRIVE Assist Package yang mengandungi Steering Assist dan Lane Change Assist.
CLA 2025 hibrid akan menyusul
Seperti dimakumkan di awal artikel, CLA 2025 hadir dengan varian EV dahulu. Varian ICE akan hadir pada suatu masa nanti. Untuk peminat kereta petrol, CLA 2025 hibrid diperkasa enjin 1.5L turbo M252 yang dibantu sistem hibrid 48V. Sistem enjin ini boleh menjana semula maksimum 25kW menerusi regenerative braking.