Sime Motors mengumumkan pembukaan EV NEXT, pengedar EV terpakai pertama Malaysia. Entiti ini ditubuhkan untuk penuhi permintaan terhadap EV terpakai dan jadikan urusan jual beli EV lebih mudah dan yang lebih penting, dijamin telus.

Perkhidmatan yang ditawarkan EV NEXT
EV NEXT adalah pusat sehenti untuk EV. Mereka tawarkan perkhidmatan jualan, tukar beli, dan servis selepas penjualan. Ia dilihat sesuai kepada kedua-dua golongan pengguna sama ada baru pertama kali nak cuba EV ataupun berkira-kira untuk naik taraf daripada kenderaan sedia ada.
Macam namanya, EV NEXT memfokuskan pada kenderaan elektrik sahaja dan mereka mempunyai kepakaran pada segi memeriksa kesihatan bateri dan rekod penyelenggaraan EV.

Lokasi EV NEXT
EV NEXT buat masa ini beroperasi di tiga lokasi, semuanya terletak di Lembah Klang iaitu:
- Glenmarie, Shah Alam
- Chan Sow Lin, Kuala Lumpur
- TREC, Kuala Lumpur
Sime Motors juga mengumumkan akan memperluas kawasan operasi EV NEXT di Pulau Pinang, Tebrau, dan Johor Bahru dalam masa terdekat. Jenama yang boleh ditemukan pengguna di EV NEXT tidak terhad pada jenama yang dipayungi Sime Motors. Antara yang ada dalam katalog mereka adalah seperti BMW, BYD, MINI, Hyundai, Jaguar, Porsche, dan Volvo.
Setiap satu daripada EV ini diperiksa dan perakukan oleh juruteknik mahir sebelum disenaraikan untuk dijual. Semua unit yang dijual bebas daripada kemalangan besar, banjir, ataupun kebakaran.
EV NEXT jamin keselamatan bateri EV terpakai
Salah satu keraguan timbul bila ingin beli EV terpakai adalah kemerosotan hayat bateri. EV NEXT menangani isu ini dengan cara menyediakan laporan terperinci tentang keadaan bateri untuk setiap EV yang mereka jual. Semuanya dipaparkan secara telus di atas papan pemuka EV.
Untuk kemudahan, maklumat yang sama turut dikongsikan secara dalam talian supaya pembeli yang tidak dapat hadir secara fizikal lakukan pertimbangan yang sewajarnya walaupun tak berada di lokasi.
Servis selepas pembelian dikendalikan Drivecare
Buat pengguna yang beli EV daripada EV NEXT, servis selepas pembelian dikendalikan oelh Drivecare itiu rangkaian servis selepas pembelian bebas dibawah Sime Motors. Anda boleh lakukan pemeriksaan kesihatan bateri, kemas kini perisian, dan penyelenggaraan berkala untuk pelbagai jenis model EV.
Anda boleh layari laman rasmi EV NEXT untuk maklumat lanjut.
