Pengusaha stesen minyak mendakwa mereka kerugian RM181 juta selepas penguatkuasaan penyasaran semula diesel yang dijalankan kerajaan Malaysia dalam bulan Jun 2024 lalu. Pengusaha stesen minyak diwakili oleh Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA).
Harga diesel naik, macam mana boleh rugi?
Menurut Setiausaha Kehormat BUMIPEDA, Hanny Julia Haron, hampir 3,500 stesen minyak berdepan dengan situasi kewangan yang kritikal. Hal ini kerana, pengusaha terpaksa beli stok diesel pada harga tinggi tapi komisen yang diterima tidak sepadan. Memang harga jualan diesel di pam adalah tinggi, namun disebabkan struktur komisen semasa, pulangan yang pengusaha stesen minyak terima adalah rendah.
Sekitar 98.3% stesen minyak sedang melaporkan kerugian dan memaksa operator mengambil langkah kreatif seperti mencari saluran perniagaan lain seperti kedai serbaneka untuk mencari pendapatan.
Untuk konteks, dalam bulan Jun 2024, kerajaan Malaysia menguatkuasakan penyasaran semula harga diesel yang menyebabkan harga komoditi itu terapung mengikut harga pasaran. Inisiatif itu diperkenalkan bersama-sama Budi Madani, inisiatif yang dirangka untuk mengurangkan impak negatif yang tercetus akibat rasionalisasi harga diesel tempoh hari.
Hanny menyarankan pihak kerajaan untuk menyemak semula Mekanisme Penentuan Harga Automatik (APM) yang diperkenalkan kerajaan dalam tahun 1983. Menurutnya, rombakkan yang komprehensif perlu dilakukan.
Setakat artikel ini ditulis, harga diesel Semenanjung Malaysia kekal pada RM2.95/l sejak 19 September 2024.
Cara harga diesel & petrol dikira di Malaysia
Harga bahan api di Malaysia tidak berkait secara langsung dengan harga minyak mentah dunia seperti yang dipaparkan di New York Mercantile Exchange (NYMEX). Sebaliknya harga bahan api kita dikira berdasarkan Means of Platts Singapore (MPS).
- MOPS memaparkan harga purata jualan produk petroleum bertapis dalam pasaran Singapura.
- Singapura adalah hab perdagangan serantau untuk produk petroleum
- Banyak negara Asia Pasifik gunakan MOPS dan untuk mengikut standard, Malaysia pun gunakan MOPS.
Daripada harga MOPS, satu buffer dimasukkan dalam formula. 5 sen untuk petrol dan 4 sen untuk diesel. Hal ini bermakna, kalau harga jualan lebih tinggi atau lebih rendah daripada MOPS, syarikat minyak akan serap ataupun dapat keuntungan tambahan.
Berdasarkan APM, pengusaha stesen minyak ada bahagian komisen daripada jualan bahan api. Untuk petrol, komisen mereka adalah RM0.15/l sementara diesel pada RM0.10/l
Selepas diambil kira harga MOPS, buffer, keuntungan syarikat minyak, dan komisen operator stesen minyak, kerajaan akan mengira subsidi yang perlu diberikan untuk menampung semula senggang yang wujud antara harga jualan sebenar dan MOPS. Subsidi sehingga RM0.30/l diberikan untuk pastikan bahan api kekal mampu milik.
Walau bagaimanapun, berdasarkan Akta Cukai Jualan 1971, kerajaan juga boleh memungut keuntungan sehingga RM0.58/l (petrol) dan RM0.19/L (diesel) sekiranya harga jualan melebihi harga kos.Sumber: MalaysiaGazette, Paultan.org
