Syarikat petroleum negara, Petronas, dilapor bercadang untuk melepaskan sedikit pegangan dalam salah satu subsidiari mereka iaitu syarikat tenaga Gentari Sdn. Bhd. Mereka telahpun melantik penasihat untuk menelusuri hasrat mereka tersebut dan terdapat beberapa pihak yang berminat untuk mendapatkan bahagian yang ingin dilepaskan oleh Petronas itu.
Kalau jadi, pegangan yang akan berpindah tangan itu dijangka mempunyai nilai hampir RM2.2 billion. Namun nilai sebenar pegangan termasuk berapa besar pegangan Petronas dalam Gentari tidak pula diumumkan pada awam.
Petronas lancar Gentari dalam tahun 2022
Gentari telah dirasmikan dalam bulan September 2022, pada ketika itu ia adalah pemilikan sepenuhnya Petronas. Gentari dilancarkan untuk menjadi sayap tenaga boleh baharu Petronas seperti penyediaan infrastruktur pengecasan untuk industri EV yang meletup pada ketika itu.
Antara misi mereka sewaktu penubuhan adalah:
- Membangunkan infrastruktur tenaga berkapasiti 30GW hingga 40GW menjelang 2030 menerusi penggunaan kincir angin, panel solar, dan storan bateri.
- Penghasilan 1.2 juta tan hidrogen sebagai bahan bakar untuk tujuan eksport dan penggunaan domestik menjelang 2030
- Mewujudkan rangkaian pengecasan EV dengan sasaran 10% pegangan pasaran sebelum 2030. Mereka juga terokai konsep Vehicle-as-a-Service (VaaS) dan lain-lain solusi digital.
Gentari buka stesen pengecas EV 350kW pertama Asia Tenggara
Dua bulan selepas ditubuhkan, dalam bulan November 2024 itu, mereka mencatat sejarah apabila membuka stesen pengecas EV pertama di Malaysia yang ada output 350kW. Bukan setakat di Malaysia, ia adalah yang pertama di Asia tenggara. Lokasinya terletak di X Park Sunway Serene Selangor. Ketika pembukaan, stesen itu mempunyai:
- 1 unit supercharger 350kW
- 2 unit pengecas DC 120kW
- 5 unit pengecas AC 11kW
