Kalau anda sedang cari EV bajet RM170,000 kebawah dan tak kisah dengan unit terpakai, Hyundai Ioniq 5 adalah pilihan terbaik. Mari saya ceritakan kenapa.
Harga Hyundai Ioniq 5 di pasaran terpakai
Saya temui beberapa unit Hyundai Ioniq 5 di laman Carlist.my pada harga bawah RM200,000. Satu daripadanya adalah Hyundai Ioniq 5 Max tahun 2022 dengan tanda harga RM169,000 dan ia dijual oleh Sime Darby Auto Selection Sdn. Bhd. Jadi anda boleh yakin yang ia berprestij.
Sebagai rujukan, harga rasmi jualan Hyundai Ioniq 5 Max adalah RM270,000. Agak pantas susut harga EV ini yang menurun 48% dalam masa dua tahun.
Satu lagi yang ada ialah Hyundai Ioniq 5 Plus pada harga tak jauh bezanya. Harga penawaran ialah RM163,888 untuk unit tahun 2023. Sebagai perbandingan, harga asal Hyundai Ioniq 5 Plus ialah RM238,000 menunjukkan penyusutan 32% merentasi tahun pertama.
Beza Hyundai Ioniq 5 Max dengan Ioniq 5 Plus
Hyundai Ioniq 5 dilancarkan dalalm bulan Mac 2022. Sewaktu dilancarkan, setiap unit kenderaan ini dilindungi jaminan asas 2 tahun ataupun 50,000km dan kelengkapan bateri bervoltan tingginya dilindungi jaminan 8 tahun ataupun 160,000km.
Hyundai Ioniq 5 Max adalah varian paling tinggi dalam keluarganya. Ia dilengkapi bateri paling besar pada 72.6kWh dan dipacu motor berkembar dengan output berjumlah 225kW dengan tork setinggi 305Nm. Jarak perjalanan yang diiklankan adalah 430km WLTP.
Sebagai perbandingan Ioniq 5 Plus adalah varian pertengahan di atas varian Lite. Ia ada bateri lebih kecil pada 58kWh dan dipacu motor belakang 120kW dan tork 170Nm. Jarak perjalanan Ioniq 5 Plus adalah 400km mengikut piawaian WLTP.
3 Sebab kenapa Ioniq 5 EV terpakai terbaik bawah RM200,000
Bateri 800V boleh dicas pantas
Hyundai Ioniq 5 menggunakan bateri 800V. Terdapat pengguna Ionia 5 Max yang laporkan ia mengecas 9% kepada 80% dalam masa 17 minit sahaja. EV ini boleh memanfaatkan pengecas 350 kW Gentari di Sunway Serene yang merupakan stesen pengecas antara yang terpantas dalam rantau Asia Tenggara.
Sistem 800V adalah lebih efisien dalam jangka masa panjang kerana industri sekarang perlahan-lahan berhijrah daripada 400V. EV 800V yang masuki Malaysia baru-baru ini adalah Xpeng G6 pada harga sekitar RM166,000.
Jarak perjalanan yang baik EV bawah RM200,000
Seperti yang dikatakan tadi, Ioniq 5 Max tawarkan jarak kembara 430km (WLTP) untuk harga bawah RM200,000, ia adalah satu jarak yang baik dan boleh bersaing dengan Xpeng Standard ataupun Tesla Model Y. Walaupun model seperti Ora Good Cat 500 Pro dan Ora 07 boleh saingi jarak itu, kebanyakan EV China hanya menyokong pengecasan EV bawah 100kW DC malahan ada yang pengecas AC 3.7kW. Jadi walaupun tewas pada jarak, Ioniq 5 Max hanya perlu ambil masa singkat untuk diisi sewaktu perjalanan.
V2L dengan soket 3 pin dalam kabin
Pada harga bawah RM200,000 ini satu-satunya EV yang boleh ditemui dengan soket 3 pin terbina dalam kabin. Satu lagi ialah Kia EV6 yang setakat ini masih belum ada unit terpakai bawah RM200,000. Jadi, anda boleh manfaatkan soket 3 pin dalam kabin untuk kuasakan laptop dan kelengkapan elektronik lain sewaktu bekerja. Kalau perlukan kuasa di luar, kabel V2L boleh digunakan.

👍🏻