Proton New Energy Technology (PRO-NET), kini membuka tempahan untuk Proton e.MAS 5, model elektrik kompak yang dijangka menjadi EV paling mampu milik di Malaysia.
Dilancarkan secara rasmi pada 4 Oktober 2025, e.MAS 5 menandakan langkah penting Proton dalam memperluaskan barisan kenderaan elektrik tempatan. Model ini akan dijual dengan harga anggaran antara RM60,000 hingga RM80,000, jauh lebih rendah daripada kebanyakan EV sedia ada di pasaran.
Dengan hanya bayaran tempahan RM99, pelanggan boleh mula menempah e.MAS 5 dan menikmati kad Proton e.MAS Touch ‘n Go edisi khas RM100 serta rebat RM500 untuk bayaran tempahan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Mr. Zhang Qiang, e.MAS 5 dibina untuk rakyat Malaysia yang mahukan kenderaan elektrik bergaya, praktikal dan lestari. “Dengan reka bentuk moden, pacuan roda belakang dan jarak perjalanan sehingga 325 km, e.MAS 5 mampu memenuhi keperluan pemanduan harian dengan mudah,” katanya.
Model ini turut menampilkan ATLAS OS dengan sambungan pintar, pengecasan pantas DC, dan peta pengecasan masa nyata (live charging map) bagi memudahkan pengguna mencari stesen pengecasan berhampiran.
Walaupun dipasarkan sebagai EV bajet, e.MAS 5 hadir dengan pelbagai ciri menarik seperti lampu utama LED dua tona, kamera 360°, sistem ADAS, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta arahan suara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Proton e.MAS 5 kini boleh ditempah melalui laman web rasmi Proton e.MAS atau di 42 pengedar Proton e.MAS di seluruh negara.
Dengan harga kompetitif, reka bentuk moden dan sokongan servis tempatan, Proton e.MAS 5 dijangka menjadi pilihan utama rakyat Malaysia yang mahu beralih kepada kenderaan elektrik tanpa membebankan bajet. Model ini turut dijangka memberi saingan langsung kepada EV import seperti BYD Dolphin, MG4 EV dan ORA Good Cat, menjadikan tahun 2025 satu detik penting dalam kebangkitan pasaran EV tempatan