Kembar Proton e.MAS 7 dapat bateri besar, jarak gerak lebih 600km

Geely dikesan sedang bangunkan versi jarak jauh untuk EV Galaxy E5 di China. Varian baharu ini katanya miliki jarak CLTC 610km. Sebagai perbandingan, varian yang sedia ada miliki jarak CLTC 530km. Perkara ini menarik kerana Galaxy E5 adalah kembar versi right-hand drive kepada Proton e.MAS 7 yang dijual di Malaysia.

Apa yang baru dengan Galaxy E5 versi jarak jauh?

Varian tersebut masih belum mula dijual. Sebaliknya ditemui dalam pengkalan data pihak berkuasa China. Jarak gerak 610km itu dicapai melalui pek bateri yang lebih besar iaitu 68.39kWh, naik taraf daripada 60.22kW yang diguna pakai oleh varian sedia ada. Di Malaysia, Proton e.MAS 7 versi Premium memiliki jarak gerak 410km (WLTP). Sekiranya unjuran dilakukan, bateri 68.39kWh mungkin boleh bawa kereta ini hampir kepada 500km.

Lain-lain spesifikasi adalah masih sama seperti varian sedia ada. Ia dilengkapi motor elektrik 160kW dengan tork 320Nm. Namun, pecutannya mungkin berbeza disebabkan pek bateri yang lebih berat yang terkandung padanya.

Sebagai maklumat anda, Proton e.MAS 7 ditawarkan di Malaysia pada harga seperti berikut:

  • Proton e.MAS 7 Prime – RM109,800
  • Proton e.MAS 7 Premium – RM123,800

Proton e.MAS 7 adalah sebuah EV yang laku keras sejurus dilancarkan. Menurut Proton New Energy Technology (Pro-Net), sebanyak 797 tempahan e.MAS 7 sudah dipenuhi dalam bulan Mac sahaja. Ia menjadikan jumlah terkumpul setakat ini untuk Suku 1 2025 adalah 1,853 unit. Untuk rujukan, dalam bulan Januari 2025 sebanyak 421 unit telah dijual sementara 580 unit dijual dalam bulan Februari 2025.

Adakah Proton e.MAS 7 akan dapat varian jarak jauh?

Buat masa ini, tiada sebarang khabar angin tentang sebarang varian baharu Proton e.MAS 7. Ia tidak mengejutkan kerana Proton kini sedang fokus kepada Proton e.MAS 5 yang katanya akan dilancarkan penghujung tahun ini.

Buat yang terlepas berita, Proton e.MAS 5 lakukan kemunculan pertama di Malaysia Autoshow 2025, awal bulan Mei 2025 yang lalu. Didapati yang EV kedua Proton ini adalah variasi kepada Geely Star Wish ataupun dikenali sebagai Geome Xingyuan dalam pasaran China. Namun, sewaktu dipamerkan di MAEPS Serdang, badannya masih ditampal pelekat berwarna-warni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top