Proton telah mengangkat tirai kepada EV mereka yang seterusnya, dikenali sebagai Proton e.MAS 5 di Malaysia Autoshow 2025. Perusahaan Otomobil Nasional Berhad itu akan berada di MAEPS Serdang sehingga 15 Mei 2025 untuk anda yang berminat untuk melihat Proton e.MAS 5 daripada dekat. Walau bagaimanapun, ia masih lagi berpelekat tebal. Boleh lihat luarannya sahaja, bahagian dalam masih digelapkan.
Proton e.MAS 5 dibawa berjalan-jalan
Walaupun sarat pelekat, Proton e.MAS 5 katanya akan dibawa menyertai jerayawara. Roadshow “Electrify Your Life” akan berjalan seawal 22 Mei hingga 24 Ogos 2025 di lokasi-lokasi tertentu. Sepanjang kembara tersebut, pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti pandu uji e.MAS 7, pertandingan cipta slogan, dan yang paling penting, e.MAS 5 juga akan dipamerkan.
Tambah menarik, pemenang bertuah berpeluang untuk bawa pulan Proton e.MAS 5 pertama bila ia dilancarkan kelak.
Berikut adalah jadual kembaran “Electrify Your Life”
- TRX Mall, Kuala Lumpur – 22–25 Mei 2025
- Gurney Paragon, Pulau Pinang – 13–15 Jun 2025
- AEON Mall, Melaka – 27–29 Jun 2025
- Paradigm Mall, Johor Bahru – 3–6 Julai 2025
- Central i-City, Shah Alam – 21–24 Ogos 2025 (Pengumuman pemenang di sini)
Apa cerita tentang Proton e.MAS 5?
Buat yang terlepas berita, Proton e.MAS 5 adalah model EV Proton seterusnya yang akan dilancarkan dalam tahun 2025. Proton memasukkannya dalam bahagian mampu milik dan tampak muda berbanding e.MAS 7 yang ada saiz lebih besar dan dituju pada keluarga.
e.MAS 5 dilihat Proton sesuai untuk pemandu muda dan yang ingin dapatkan EV pertama. Model ini dikatakan ada ciri pintar sama tahapnya dengan e.MAS 7 tapi dalam pakej yang lebih kecil dan kompak. Angka 5 pada nama model melambangkan segmen tempat ia berada iaitu B-segmen iaitu kategori yang merujuk kepada kenderaan kegunaan bandar.
Proton e.MAS 5 adalah variasi kepada Geely Star Wish (pasaran luar negara) ataupun Geome Xongyuan yang sudahpun dilancarkan dalam psaran China. Buat masa ini, spesifiaksi teknikal e.MSA 5 masih belum ada, jadi buat sementara waktu, boleh kita rujuk pada model luar negara yang sudah ada.
Geely Star Wish adalah sebuah EV kompak yang diperkenalkan sewaktu Bangkok International Motor Show 2025 tempoh hari. Ia ditujukan untuk kegunaan urban dan mensasarkan pada segmen harga mampu milik. Model ini bakal bersaing dengan BYD Dolphin dengan dimensi seperti berikut:
- Panjang: 4,135 mm
- Lebar: 1,805 mm
- Tinggi: 1,570 mm
- Jarak gandar: 2,650 mm
Penawaran Geome Xingyuan di China
Dalam pasaran China, Geome Xingyuan ditawarkan dalam dua konfigurasi bateri. Kedua-duanya mengguna pakai bateri LFP daripada pengeluar CATL.
Variasi lebih murah mengguna pakai bateri 30.12kWh yang ada jarak gerak 310km (CLTC) dan ia menggerakkan motor elektrik 58kW (79PS) beserta tork 130Nm. Kemudian, pengguna di sana ada juga pilihan variasi 40.16kWh dengan jarak gerak 410km (CLTC). Bateri itu bekalkan kuasa pada motor 85kW (116PS) dengan tork 150Nm.
Kepantasan mengecas adalah dilaporkan sama antara mereka iaitu 21 minit dari 30 kepada 80%.
Bergantung kepada varian, Geome Xingyuan ada ciri-ciri menarik seperti:
- roda besar 16”
- skrin inforia 14.6”
- skrin kluster instrumen 8.8”
- pencahayaan kabin LED 256 warna
- pengecasan wayarles 50W untuk telefon
- corong pendingin hawa belakang
- V2L 3.3kW
- Sistem ADAS lengkap
- sistem audio dengan 4 ataupun 6 speaker
Sumber: Proton