Proton eMas 5: Muncul di Malaysia Autoshow 2025

Proton menggegarkan hari pertama Malaysia Autoshow 2025 dengan pengumuman Proton e.MAS 5 (eMas 5). Untuk makluman anuda, Proton akan berada di MAEPS Serdang antara 9 hingga 15 Mei. Selepas diangkat kain pelindung, tak syak lagi ia memang sebuah variasi kepada Geely Star Wish ataupun dikenali sebagai Geome Xingyuan dalam pasaran China. Walau bagaimanapun, eMAS 5 masih ditampal pelekat berwarna-warni.

Tentang Geely Star Wish

Buat masa ini, kita masih tiada sebarang maklumat tentang spesifikasi eMAS 5. Jadi kita hanya boleh melihat pada variasi model itu yang dah dilancarkan di pasaran luar. Geely Star Wish adalah sebuah EV kompak yang diperkenalkan sewaktu Bangkok International Motor Show 2025 tempoh hari. 

Ia ditujukan untuk kegunaan urban dan mensasarkan pada segmen harga mampu milik. Model ini bakal bersaing dengan BYD Dolphin dengan dimensi seperti berikut:

  • Panjang: 4,135 mm
  • Lebar: 1,805 mm
  • Tinggi: 1,570 mm
  • Jarak gandar: 2,650 mm

Berdasarkan ukuran tersebut, ia jelas lebih kecil berbanding eMAS 7 dan tidak syak akan ditawarkan pada harga lebih murah berbanding EV pertama Proton itu.

Penawaran Geome Xingyuan di China

Dalam pasaran China, Geome Xingyuan ditawarkan dalam dua konfigurasi bateri. Kedua-duanya mengguna pakai bateri LFP daripada pengeluar CATL.

Variasi lebih murah mengguna pakai bateri 30.12kWh yang ada jarak gerak 310km (CLTC) dan ia menggerakkan motor elektrik 58kW (79PS) beserta tork 130Nm. Kemudian, pengguna di sana ada juga pilihan variasi 40.16kWh dengan jarak gerak 410km (CLTC). Bateri itu bekalkan kuasa pada motor 85kW (116PS) dengan tork 150Nm.

Kepantasan mengecas adalah dilaporkan sama antara mereka iaitu 21 minit dari 30 kepada 80%.

Bergantung kepada varian, Geome Xingyuan ada ciri-ciri menarik seperti:

  • roda besar 16”
  • skrin inforia 14.6”
  • skrin kluster instrumen 8.8”
  • pencahayaan kabin LED 256 warna
  • pengecasan wayarles 50W untuk telefon
  • corong pendingin hawa belakang
  • V2L 3.3kW
  • Sistem ADAS lengkap
  • sistem audio dengan 4 ataupun 6 speaker

Apa kata Proton?

Li Chunrong selaku CEO Proton mengesahkan yang sekurang-kurangnya satu EV daripada Proton akan muncul dalam tahun 2025 berasaskan platform Geely Global Modular Architecture (GMA). Tambah menarik, tanda dagang untuk eMAS 5 dan eMAS 3 sudahpun didaftarkan, lantas memperkukuh komitmen Proton untuk tawarkan EV mampu milik.

Timbalan CEO, Roslan ABdullah, juga senada apabila mengesahkan yang EV Proton yang seterusnya akan lebih mampu milik dan disasarkan untuk golongan keluarga baru. Fokus diberikan pada kepraktikalan, harga, dan jarak gerak.

Satu lagi info menarik adalah, model baharu EV Proton ini dikatakan akan dipasang secara tempatan di kemudahan pengeluaran bernilai RM82 juta letaknya di Tanjung Malim. Kemudahan itu berpotensi untuk mengeluarkan 20,000 unit setahun dan boleh dikembangkan kepada 45,000 unit bergantung kepada permintaan pasaran domestik dan export.

Sumber: Proton

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top