Landskap EV Malaysia tumbuh sangat pesat. Menurut data terbaharu daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), untuk bulan Mac 2025 sebanyak 2,976 telah didaftarkan. Angka tersebut adalah 38% lebih tinggi berbanding 2,161 yang dicatatkan dalam bulan Februari 2025 dan hampir 46% lebih tinggi berbanding Mac 2024.
Proton e.MAS 7: EV terlaris tiga bulan berturut-turut
Masih kekal berada di atas carta, Proton e.MAS 7 boleh berbangga jadi EV paling laku sejak Januari 2025. Untuk bulan ini, sebanyak 737 unit e.MAS 7 telah didaftarkan. Harga dilihat menjadi faktor pelaris kenderaan ini disamping nilai yang diberikan melalui penawaran spesifikasi yang baik.
Buat yang terlepas berita, sewaktu dilancarkan hujung tahun 2024 lalu, harga permulaan EV ini selepas rebat adalah mencecah RM105,800. Untuk sebuah SUV dengan ruang kabin yang lapang, ia adalah satu pilihan baik untuk pengguna berkeluarga.
Mungkin terasa tercabar, BYD telah lancarkan model refreshed BYD Atto 3 Ultra pada harga RM26,000 lebih murah daripada harga biasa iaitu bermuyla RM124,500.
Pengeluar China ungguli 10 model EV terlaris Malaysia
Walaupun Proton e.MAS 7 model paling laris, pastinya ia terasa sunyi tanpa Perodua. Hal ini kerana, 8 daripada 10 model EV terlaris Malaysia adalah daripada pengeluar China. Mereka ialah BYD, Zeekr, Denza, dan Xpeng. Tesla satu-satunya pengeluar yang masih kekal dalam senarai top 10 selepas BMW, Porsche, dan Mini yang dilihat dalam senarai dalam bulan Februari 2025.
Menariknya, semua model BYD berada dalam senarai teratas dengan jualan seperti berikut:
- BYD Sealion 7 (303 units)
- BYD M6 (281 units)
- BYD Atto 3 (258 units)
- BYD Seal (161 units)
Subjenama BYD untuk segmen premium, Denza juga berjaya tembusi carta selepas MPV Denza D9 dilancarkan tempoh hari.
DENZA D9 – Alphard,Vellfire versi EV
Tesla, Xpeng, Zeekr: Bersaing dalam gelanggang sesak
Sungguhpun menunjukkan penurunan pada segi jualan, Model 3 masih kekal berada dalam senarai top 10 dalam tempoh yang agak lama. Tesla dijangka akan kekal berada di kelompok atas kerana tak lama lagi Model Y yang diperbaharukan akan masuk ke Malaysia.
Model EV lain yang perlu diberi perkhatian adalah seperti:
- Zeekr 009 MPV
- BMW iX2
- Xpeng G6
- MG 4 Electric
- Mini Electric
Model-model ini memang tawarkan spesifikasi yang baik namun, tentangan harga daripada Proton dan BYD merencatkan pertumbuhan model-model premium ini.
Faktor penggalak pertumbuhan landskap EV Malaysia
Kerajaan adalah antara yang memainkan peranan utama dalam memastikan industri EV Malaysia tumbuh mekar. Contohnya, pengecualian cukai import & eksais ke atas EV CBU diperkenalkan sejak tahun 2023 telah merancakkan kemasukan EV daripada luar ke Malaysia.
Buat pengetahuan anda, insentif itu telah dilanjutkan sebanyak dua kali. Tarikh akhir terkini adalah 31 Disember 2025.
Dengan pengakhiran pengecualian cukai, jenama kereta mula merencana strategi pemasangan tempatan (CKD) untuk kekalkan penawaran EV pada harga munasabah. Proton katanya akan mulakan pengeluaran tempatan e.MAS 7 dalam tahun ini dan Perodua, Chery, dan lain-lain pengeluar juga akan turuti langkah yang sama tak lama lagi.
Kemudian, pengumuman MIDA yang mensasarkan pembangunan 10,000 stesen EV sebelum 2025 tamat pastinya meningkatkan keyakinan dalam kalangan pengguna yang berada “atas pagar” dalam mendapatkan EV.