BMW i4 eDrive35 M Sport di Malaysia, harga bermula RM295,000

BMW Malaysia telah mengumumkan penjualan BMW i4 eDrive35 M Sport di Malaysia. Ini adalah sedan elektrik jenis fastback versi facelift kepada i4 eDrive35 yang dilancarkan dalam tahun 2023 tempoh hari. Buat yang berminat untuk dapatkannya, harga jualannya di Malaysia adalah:

  • RM294,800 – (OTR tanpa insurans)
  • RM315,500 – (dengan BMW Service Inclusive, BSI)

Apa yang baru dengan BMW i4 eDrive35 M Sport

Kebanyakan perubahan yang boleh dicerap pengguna pada BMW i4 dDrive35 M Sport berbanding i4 tahun 2022 tertumpu pada estetik.

Rekaan gril baru dan lampu laser di belakang

Di bahagian depan, rekaan gril ada sedikit perbezaan iaitu air scoope di bahagian bawah kini lebih kecil dan dibahagian kepada tiga sektor. Rekaan lampu juga lebih runcing dan dilengkapi teknologi BMW Selective Beam dan lampu DRL berbentuk L untuk pemanduan di siang hari.

Bahagian belakang, lampu jenis laser diberikan, mirip M4 CSL lantas berikan suntikan premium pada kereta yang hampiri harga suku juta ini. Roda pun dah berubah ke 19” daripada 18” dan ada lencana M dan berkemasan dwitona.

Stereng sport, kemasan M PerformTex, dan BMW Curved Display

Beralih ke bahagian dalam, anda dapat stereng sport baru dengan rekaan bawah yang rata. Corong penghembus angin sejuk kini ada lampu latar yang ada 9 warna untuk dipilih. Tetapan kereta dan sistem inforia semuanya ada di BMW Curved Display sebesar 12.3” untuk kluster instrument dan 14.9” untuk skrin tengah. Kerusi pula diperbuat daripada materi M PerformTex, katanya bahan yang mesra alam yang jimat jejak karbon sebanyak 34kg berbanding materi konvensional.

Prestasi masih sama dengan yang lama

BMW i4 eDrive35 M Sport mengekalkan angka prestasi seperti edisi sebelum ini. Ia dipacu roda belakang oleh motor elektrik yang keluarkan 210kW (282hp) dengan tork setinggi 400Nm. Pecutan ke 100km/j mengambil masa 6.0 saat sementara kelajuan maksimum yang dibenarkan adalah 190km/j.

Berbekalkan bateri 67.1kWh (naik daripada 66kWh sebelum ini), ia ada jarak gerak 500km (WLTP) berbanding model sebelum ini yang ada jarak 483km. Bila perlu dicas, ia boleh terima arus DC pada 180kW untuk isi 10 – 80% dalam masa 32 minit dan arus AC 11kW untuk isi bateri penuh dalam masa 7 jam.

Sumber: BMW Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top