Tempahan Tesla Model Y 2025 Malaysia dibuka, ini benda baru yang ia bawa

Tesla secara rasminya telah mengumumkan versi facelift Model Y 2025. Lebih menarik, ia kini boleh mula ditempah di Malaysia pada harga bermula RM195,450. SUV elektrik antara yang popular di Malaysia ini membawakan prestasi dan rekaan ditambah baik serta ada beberapa ciri baru.

Harga Tesla Model Y 2025 di Malaysia

Tesla Model Y 2025 ditawarkan di Malaysia dalam dua varian. Pilihan yang paling bawah adalah versi rear-wheel drive (RWD) berharga RM195,450 yang ada jarak gerak 466km (WLTP), pecutan ke 100km/j dalam masa 5.9s dengan kelajuan maksimum 201km/j.

Pilihan yang kedua adalah versi long range all-wheel drive (LR AWD) yang boleh didapatkan pada harga RM242,450. Ia boleh gerak sejauh 551km (WLTP) dengan pecutan abad 4.3s (dengan Acceleration Boost) pada kelajuan maksimum 201km/j.

Malaysia adalah antara pasaran pertama yang menerima Model Y Facelift. Tempahan akan mula diedarkan seawal April 2025. Tempahan boleh dilakukan menerusi laman rasmi Tesla Malaysia dengan deposit hangus sebanyak RM1,000.

Sebagai perbandingan, edisi Model Y yang masuki Malaysia dalam 2024 ditawarkan pada harga seperti berikut:

  • Model Y RWD 2024 – RM199,000
  • Model Y Dual-Motor AWD 2024 – RM246,000
  • Model Y Performance 2024 – RM288,888

Tesla tawarkan pelbagai pilihan warna tapi ada antaranya disekalikan dengan pertambahan harga. Berikut adalah pilihan warna Tesla Model Y 2025:

  • Stealth Grey (+RM0)
  • Pearl White Multi-Coat (+RM5,000)
  • Glacier Blue (+RM7,500)
  • Quicksilver (+RM11,000)
  • Ultra Red (+RM11,000)

Menariknya, stealth grey kini ditawarkan tanpa kos tambahan yang sebelum ini adalah warna premium. Selain itu, setiap unit EV ini didatangkan dengan rim Crossflow 19” tapi boleh dinaik taraf kepada Helix 20” pada harga RM10,000.

Setiap unit Tesla Model Y dilindungi jaminan 4 tahun (80,000km) ataupun untuk bateri dan unit pemacu, ia dilindungi jaminan 8 tahun (160,000km).

Tesla Model Y Juniper Launch Series

Batch pertama Tesla Model Y (2025) akan tampilkan beberapa ciri unik yang menandakan ia berada dalam golongan awal. Antara tanda-tanda yang boleh anda cerap adalah seperti:

  • lencana khas di pintu but
  • lencana khas di lampu limpah, alas pintu, dan port pengecas
  • kabin dalam hitam materi suede
  • Ciri Acceleration Boost percuma untuk LR-AWD

Tesla Model Y 2025 ada kabin mirip Model 3 Highland

Tesla Model Y 2025 ini tampilkan bahagian kabin yang lebih segar iaitu lebih mirip saudara sedan elektriknya iaitu Model 3.

Antara pembaharuan yang boleh ditemukan adalah seperti:

  • Skrin inforia 15.4” untuk penumpang depan
  • Skrin inforia 8: untuk penumpang belakang
  • Kerusi berpengudaraan
  • Pencahayaan keliling di dalam kabin
  • Trim dalaman hitam (standard) dan kombinasi hitam/putih (+RM5,000)

Tesla turut menggunakan kaca jenis dwilapis penebat akustik untuk tingkap SUV elektrik ini. Individu yang berada dalam kabin boleh jangkakan perjalanan yang lebih senyap. Untuk perlindungan daripada cahaya ultralembayung dan kurangkan bahang, bahagian kaca bumbungnya ada dilapisi materi perak untuk kurangkan penempusan UV dan ultramerah.

Model Y memang terkenal dengan kepraktikalan. Varian Facelift ini tidak terkecuali. Keseluruhan ruang kargo yang mampu ia sediakan adalah 2,130L, termasuklah frunk. Lain-lain ciri praktikal yang boleh ditemukan adalah seperti kerusi penumpang belakang boleh diubah sudut sandar dengan motor elektrik dan juga pintu but terbuka sendiri bila anda hampiri kenderaan dengan kunci kereta.

Naik taraf prestasi Tesla Model Y 2025

Facelift kepada Tesla Model Y ini turut bawakan naik taraf prestasi pada SUV elektrik ini. Anda boleh temukan peresap tayar dan peresap belakang yang kurangkan seretan angin dan mempertingkat kecekapan. Pekali seretan model kali ini adalah 0.22Cd berbanding 0.23Cd sebelum ini untuk jadikannya salah satu SUV paling aerodinamik dalam kelasnya.

Pemanduan yang lebih senyap juga boleh dijangka hasil rekaan semula panel badan yang meminimumkan celah antara dua panel dan dalam masa yang sama jadikan badan lebih kukuh. Kelengkapan mengecas Tesla Model Y 2025 ini didapati tidak berubah. Varian RWD menyokong sehingga 175kW DC input sementara LR-AWD menyokong sehingga 250kW DC. Mereka masing-masing boleh terima kuasa AC 11kW.

Untuk sistem bantu pandu aktif, Basic Autopilot disertakan sekali. Tapi sekiranya ingin fungsi yang lebih, ciri bantu pandu aktif yang lebih maju boleh ditambah dengan bayaran seperti:

Enhanced Autopilot (+RM16,000)

  • Navigate on Autopilot
  • Auto Lane Change
  • Autopark
  • Dumb Summon (akan dikemas kini kepada Smart Summon)

Full Self-Driving (FSD) (+RM32,000)

  • Semua yang ada dalam Enhanced Autopilot dan tambahan ciri seperti Traffic Light and Stop Sign Control serta Autosteer (masih belum sah diguna di Malaysia).

Anda boleh layari laman rasmi Tesla Malaysia untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top