Tentu anda dah dengar tentang struktur baharu tarif elektrik TNB yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julau 2025 ini. Salah satu perkara dalam pengumuman itu adalah pengenalan tarif baharu yang dikenali sebagai tarif Time of Use (ToU). Buat pengguna EV, ini mungkin adalah berita baik kerana ia boleh jimatkan kos mengecas di rumah. Ini penjelasannya.
Apa itu tarif Time of Use (ToU)?
Tak seperti tarif General Domestic yang kenakan kadar rata tak mengira waktu, ToU kenakan kadar yang berbeza berbantung kepada waktu anda gunakan elektrik. Ia mempunyai objektif untuk menggalakkan penggunaan di luar waktu puncak untuk berikan kelegaan pada grid tenaga dan seterusnya mempertingkat kecekapan penggunaan tenaga.
Berikut adalah jadual waktu puncak ToU:
- Waktu puncak: Isnin – Jumaat, 2:00PM hingga 10:00PM
- Luar waktu puncak: Isnin – Jumaat, 10:00.PM hingga 2:00PM, dan sepanjang masa hujung minggu
Daripada jadual tersebut, anda boleh perhatikan tempoh luar waktu puncak bermula 10 malam hingga 2 petang esoknya dan sepanjang hari hujung minggu. Pada sepanjang tempoh tersebutlah anda boleh cas EV untuk nikmati kadar terendah.
Berapa kadar tarif elektrik ToU dan apa bezanya dengan tarif biasa?
Mari kita bandingkan tarif ToU dengan tarif biasa untuk penggunaan bawah 1,500kWh/bulan.
- General Tarif – 27.03 sen/kWh – sepanjang hari
- ToU (waktu puncak) – 28.52 sen/kWh – Jumaat, 2:00PM hingga 10:00PM
- ToU (luar waktu puncak) – 24.43 sen/kWh – Isnin – Jumaat, 10:00.PM hingga 2:00PM, dan sepanjang masa hujung minggu
Mari kita ambil contoh Proton e.Mas 7 Premium yang ada kapasiti bateri 60.22kWh dan dicas menggunakan tarif biasa dan tarif luar waktu puncak. Parameter yang ditetapkan adalah seperti berikut:
- EV dicas 1 kali seminggu sehingga penuh (4 kali sebulan)
- EV dicas hanya dalam tempoh luar waktu puncak
- EV dicas guna home charger dengan kecekapan 100%
Dalam masa sebulan, Proton e.Mas 7 itu akan gunakan 240.88kWh tenaga. Apabila didarabkan dengan tarif, berikut adalah hasilnya:
- Cas EV guna tarif biasa akan libatkan kos RM65.13
- Cas EV guna tarif ToU luar puncak akan libatkan kos RM58.90
Boleh diperhatikan setiap bulan, kos mengecas adalah RM6.23 lebih rendah ataupun RM74.76 penjimatan dalam setahun (10% penjimatan).
Perkara yang perlu anda tahu tentang ToU
Itulah dia manfaat tarif ToU yang baru saja diperkenalkan TNB. Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu anda tahu tentang tarif ini. Yang pertama adalah ia perlu dimohon kepada pihak TNB untuk mula nikmati manfaatnya kerana tetapan default adalah tarif biasa.
Kemudian, tarif ini hanya ditawarkan kepada pengguna meter pintar dan yang terakhir, kadar pada waktu puncak adalah lebih tinggi daripada tarif biasa. Maka, anda perlu lakukan sedikit perubahan pada pola penggunaan tenaga seharian anda.
Permohonan ToU akan dibuka 1 Julai 2025 ini. Layari laman rasmi TNB untuk maklumat lanjut.