Proton e.MAS 7 adalah antara EV terhangat dalam pasaran Malaysia sekarang. Bukan sahaja ia ditawarkan pada harga antara yang termurah dalam kelasnya, spesifikasi yang ditawarkannya juga berbaloi. Tapi, Berapa gaji sedap nak pakai Proton e.MAS 7? Jom kira.
Harga Proton e.MAS 7
Proton e.MAS 7 ditawarkan di Malaysia pada harga seperti berikut:
- Proton e.MAS 7 Prime – RM109,800
- Proton e.MAS 7 Premium – RM123,800
Dalam waktu terhad, 3000 tempahan pertama akan dapat harga diskaun seperti berikut:
- Proton e.MAS 7 Prime – RM105,800
- Proton e.MAS 7 Premium – RM119,800
Pada harga sebegitu, inilah dia SUV elektrik termurah di Malaysia selepas MG ZS EV. Sebagai perbandingan, berikut adalah harga jualan SUV elektrik pada harga sekitarnya.
- BYD Atto 3 – RM149,800
- Chery Omoda E5 – RM146,800
- GAC Aion Y Plus – RM119,800 (Elite), RM135,800 (Premium)
- Leapmotor C10 – RM159,000
- MG ZS EV – RM99,999
- Tesla Model Y – RM195,450 (RWD), RM242,450 (LR), RM254,450 (Performance, model lama)
- Xpeng G6 – RM165,820 (580 Pro), RM185,820 (755 Pro)
Proton e.MAS 7 dilindungi jaminan tanpa had perbatuan selama 6 tahun lamanya. Komponen bateri bervoltan tinggi dan komponen yang berkaitan dengannya dilindungi jaminan 8 tahun ataupun 160,000km.
Antara pakej menarik yang ditawarkan bersama-sama setiap pembelian Proton e.MAS 7 adalah seperti:
- Power Home – Percuma Home Charger 7kW (RM1,500)
- Power Plus – Adapter V2L (RM500)
- Power Financing – Kadar faedah serendah 1.98% (RM3,000)
- Power Online – Kuota Internet tanpa had 5 tahun (RM1,800)
- Power Exchange – Tukar beli kereta Proton untuk dapat sehingga RM1,200
Pinjaman bank Proton e.MAS 7
Anuar dah ada harga kenderaan, sekarang dia cari pula bank yang boleh tawarkan kemudahan pinjaman. Golongan mahakaya mungkin dapatkannya secara tunai namun majoritinya akan menelusuri laluan pinjaman bank.
Mari kita bayangkan, Anuar dah berkeputusan untuk miliki sebuah Proton e.MAS 7 Premium yang berharga RM119,800.
Sewaktu pelancaran, Proton ada katakan bahawa mereka tawarkan kemudahan kewangan dengan kadar faedah serendah 1.98% p.a. Buat yang masih belum jelas, angka tersebut adalah bunga yang dikenakan untuk setahun. Jadi untuk pinjaman maksimum iaitu 9 tahun, bunga yang peminjam bayar ke atas harga kereta adalah 17.82%.
Untuk pinjaman kenderaan, syarat yang dikenakan bank negara adalah peminjam perlu sediakan deposit sebanyak sekurang-kurangnya 10%. Katakanlah Anuar sediakan deposit sebanyak RM12,000 untuk jadikan jumlah pinjaman daripada bank sebanyak RM107,800.
RM107,800 selepas dikenakan bunga sepanjang tempoh pinjaman iaitu 9 tahun menjadikan jumlah yang perlu dibayar di akhir kontrak pinjaman adalah RM127,009.96. Jumlah tersebut, dibahagikan ke dalam 108 bulan (9 tahun) bermakna bayaran bulanan Anuar adalah RM1,176.02
Perlu diingatkan yang kadar faedah yang diiklankan adalah kadar serendah dan tidak sama untuk setiap pembeli kerana kadar akhir hanya diketahui selepas bank melakukan segala penilaian yang mereka perlukan.
Itu belum lagi bolehkan e.MAS 7 dipandu atas jalan raya. Seterusnya adalah insurans dan cukai jalan.
Insurans dan cukai jalan Proton e.MAS 7
2025 adalah tahun akhir pengecualian cukai jalan dikenakan ke atas EV. Jadi, untuk tahun 2026, Anuar perlu membayar RM180 sebagai cukai jalan Proton e.MAS 7 milik beliau. RM180 dikira berdasarkan output motor 160kW yang dimiliki EV tersebut.
Selepas cukai jalan, insurans kenderaan juga adalah sesuatu yang wajib. Gambar di bawah adalah contoh quotation perlindungan insurans Proton e.MAS 7. Premium asas tanpa sebarang NCD dan manfaat tambahan sahaja adalah RM2,973.55/tahun. Untuk tahun pertama, insurans sahaja telah sumbang kira-kira RM247.79/bulan kepada kos pemilikan.
Cukai jalan RM180/tahun dan premium insurans RM2,500/tahun menjadikan kos bulanan untuk dua perkara ini adalah sebanyak kira-kira RM224.
Kos selenggara Proton e.MAS 7
Pakai bukan main sedap, jangan lupa untuk servis. Ya, Anuar perlu juga lakukan selenggara berkala kenderaannya kerana EV juga ada komponen wear & tear seperti kenderaan biasa. Bezanya adalah bilangannya lebih rendah berbanding kenderaan petrol.
Penyelenggaraan berkala Proton e.MAS 7
Proton ada menggariskan jadual penyelenggaraan berkala e.MAS 7 yang boleh anda rujuk di laman rasmi mereka. Ia wajib dipatuhi untuk melayakkan EV itu dilindungi jaminan seperti yang dijanjikan Proton.
Proton e.MAS 7 hanya perlu diselenggara sekali setauhn ataupun 20,000km. Walau bagaimanapun, servis kali pertama ditetapkan pada tanda 5,000km iaitu pertukaran pelincir reduction gear. Selepas servis kali pertama, maka bermulalah senggang 20,000km servis EV ini.
Selain pelincir reduction gear, komponen lain yang perlu diganti seperti penapis udara dalam kabin, minyak brek, dan penyejuk motor.
Kesemua maklumat ini tidak didedahkan kepada umum, jadi Anuar tidak boleh masukkannya ke dalam jadual kira-kira pemilikan Proton e.MAS 7.
Harga tayar Proton e.MAS 7
Menurut manual pengguna Proton e.MAS 7, varian Premium mengguna pakai tayar bersaiz 235/50 R19.
Carian ringkas di Shopee menunjukkan produk seperti Michelin Primacy SUV+ ditawarkan pada harga sekitar RM900/unit. Ia diterjemah kepada RM3,600/set untuk EV ini.
Katakanlah kekerapan penggunaan tayar ini adalah 5 tahun, bergantung kepada cara pemanduan, Anuar boleh menjangkakan kos purata tayar adalah RM720/tahun ataupun RM60/bulan.
Berapa kos sebenar pemilikan Proton e.MAS 7?
Kos sebenar pemilikan Proton e.MAS 7 yang dikira ini mengambil faktor seperti berikut:
- Bayaran bulanan pinjaman bank – RM1,176.02/bulan
- Harga cukai jalan tahunan – RM15/bulan
- Harga premium insurans tahunan – RM247.79/bulan
- Harga tayar – RM60/bulan
Dengan semua ini dipertimbangkan, didapati yang kos sebenar pemilikan sebuah Proton e.MAS 7 adalah sekurang-kurangnya RM1,498.81/bulan dibundarkan kepada RM1,500/bulan.
Berlandaskan info PIDM yang menyatakan bank biasanya akan meluluskan permohonan yang ada Debt Service Ratio bawah 60%, orang yang “mampu” untuk pakai Proton e.MAS 7 adalah yang berpendapatan RM2,500/bulan.
Penekanan diberikan kepada “mampu” kerana belum tentu dengan baki RM1,000 bulanan yang ada, Anuar boleh hidup selesa. Kerana faktor berikut belum diambil kira:
- Kos buruh selenggara berkala
- Kos alat ganti seperti minyak brek, minyak gear, dan penapis kabin.
- Kos mengecas: Kapasiti bateri e.MAS 7 Premium adalah 60.2kWh. Kalau anda secara ekslusif cas di rumah dan tariff paling tinggi digunakan iaitu 57.10sen/kWh, satu isian penuh kereta ini adalah berharga RM34.37 untuk jarak pandu sehingga 410km (WLTP) ataupun sekitar ~RM8.40/100km.
Kemudian, katakanlah Anuar menyewa kediamannya pada RM1,200/bulan dan kos makanan hariannya adalah RM20/hari. Itu saja sudah dijumlahkan kepada RM1,800/bulan. Apabila ditambah kepada kos pemilikan sebenar Proton e.MAS 7 tadi, dah jadi RM3,300