Kereta EV mempunyai 2 jenis charger yang anda perlu tahu iaitu AC Charger (Perlahan) dan DC Charger (Laju). Walaupun anda mungkin akan terus pergi kearah DC yang lebih laju tetapi terdapat senario yang lebih bermanfaat menggunakan sebuah pengecas yang lebih perlahan.
Pengecas EV: Perbezaan Antara AC dan DC
Kenderaan elektrik (EV) memerlukan elektrik untuk beroperasi, dan di sinilah pengecas EV memainkan peranan. Sama seperti anda mengecas telefon anda, anda juga perlu mengecas EV anda untuk mengisi semula baterinya. Namun, berbeza dengan telefon anda, terdapat dua jenis pengecas EV utama: AC dan DC. Mari kita fahami perbezaan ini dengan cara yang mudah.

Pengecas AC: Pilihan yang Perlahan dan Stabil
- Bayangkan pengecas AC seperti soket biasa di rumah anda. Ia membekalkan aliran elektrik yang lebih perlahan ke bateri EV anda.
- Harga untuk memiliki sesebuah pengecas AC adalah lebih murah iaitu sekitar RM2000 dan kebanyakannya di berikan percuma kepada pembeli untuk pasang dirumah
- Pengecas AC sesuai digunakan apabila anda mempunyai banyak masa terluang seperti pada waktu malam di rumah atau sepanjang hari di tempat kerja ataupun di tempat membeli belah dimana anda meluangkan masa lapang.
- Lokasinya selalu berada dirumah, tempat kerja, dan beberapa lokasi rekriasi yang berada di sekitar bandar bagi menarik pengunjung pergi ke situ
- Kuasa pengecas ini hanya sekitar 3kW sehingga 22kW sahaja
- Masa mengecas 6 sehingga 8 jam bergantung pada bateri anda
- Kos mengecas selalu dikira berdasarkan kWh ataupun masa, di malaysia kebanyakannya adalah percuma dipusat membeli belah seperti syarikat Tesla. Namun untuk berbayar harganya sekitar RM1.50/kWh bergantung kepada syarikat yang menyediakan servis tersebut.

Pengecas DC: Pilihan yang Pantas dan Berkuasa
- Anda tidak boleh beli pengecas ini semestinya tidak murah dan bukan sebuah pengecas yang anda boleh pasang di rumah kerana kosnya yang tinggi sehingga RM500,000 sebuah.
- Kuasanya cukup tinggi daripada 22kW sehingga 350kW.
- Masa mengecas pula ia mampu mengisi secepat 18 minit sahaja daripada bateri 10% ke 80%.
- Lokasi tempat pengecas ini sekitar RNR kerana masa menunggu tidak lama apabila menggunakan pengecas DC.
- Harga pengecas juga lebih mahal berbanding pengecas yang perlahan.
- Tidak seperti petrol, elektrik tidak mempunyai subsidi yang ditetapkan kerajaan. Maka harga juga akan berbeza mengikut sesebuah syarikat seperti Tesla Supercharger RM1.25/kWh, Gentari RM1.50/kWh, TNB RM2.20/kWh, Shell RM2.20/kWh

Pengecas Mana yang Sesuai untuk Anda?
Ia bergantung pada keperluan dan gaya hidup anda. Jika anda kebanyakannya memandu jarak dekat dan mempunyai masa untuk mengecas pada waktu malam, pengecas AC di rumah mungkin sudah mencukupi. Tetapi jika anda sering melakukan perjalanan jauh atau perlu mengecas dengan cepat, akses kepada pengecas DC adalah penting.
Rumah apartment tiada pengecas di rumah
Ramai akan mempunyai masalah seperti ini, cara yang paling sesuai dan juga kurang kos adalah mengecas di kawasan kerja, tempat membeli belah dan mencari kawasan yang mempunyai pengecas AC di tempat awam seperti taman dan sebagainya. Anda mungkin akan berkata “takkan la nak tunggu 6 jam bang dekat taman” nasihat saya carilah tempat mengecas di tempat kerja dan amda tidak perlu untuk mengecas sehingga bateri penuh seperti 2 jam sudah cukup untuk dapatkan 20% kerana anda tidak akan habiskan bateri dalam masa sehari. Penggunaan kami hanya sekitar 5% bateri sahaja sehari.
Kesimpulannya
Pengecas AC dan DC kedua-duanya penting untuk memastikan EV terus beroperasi. Memahami perbezaan antara keduanya membantu anda membuat pilihan yang tepat tentang cara dan di mana untuk mengecas kenderaan elektrik anda.
