3 Sebab Gabungan Nissan, Honda, dan Mitsubishi

Dunia automotif 2024 ditutup dengan pengumuman menggemparkan. Nissan Motor, Honda Motor, dan Mitsubishi Motor telah mengadakan sidang media bersama untuk beritahu semua yang mereka memulakan perbincangan untuk bergabung. CEO ketiga-tiga syarikat itu Makoto Uchida (Nissan), Toshihiro Mibe (Honda), dan Takao Kata (Mitsubishi Motors) tampil di hadapan kamera bersama-sama.

Anda boleh tonton sidang media bersama ketiga-tiga jenama itu di sini.

3 Sebab penggabungan Nissan, Honda, dan Mitsubishi

Tiga gergasi automotif Jepun itu menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan tercetusnya perbincangan ini. Antaranya adalah seperti:

Pesatnya transformasi industri automotif

  • Mereka melihat perubahan landskap automotif yang terlalu pesat dan lebih terarah kepada elektrik dan AI.
  • Perubahan ini memerlukan sumber yang banyak untuk R&D dan memaksa mereka menyatupadukan sumber untuk kekal efektif.

Menambah baik kecekapan dan skala

  • Integrasi sumber antara satu sama lain bolehkan economic of scale lebih baik, mengoptimumkan operasi, dan kurangkan kos.
  • Penggabungan dilihat langkah yang baik untuk industri automotif Jepun kekal bersaing di pasaran global.

Manfaatkan kekuatan jenama masing-masing

  • Setiap entiti akan bawa kekuatan masing-masing ke dalam gabungan. Honda akan perkukuh industri motorsikal dan produk elektrik sementara Nissan dan Mitsubishi akan fokus pada kerjasama dalam industri automotif.

Penggabungan selesai seawal Ogos 2026

Sidang media bersama dan tanda tangan MOU adalah checkpoint pertama yang mereka tetapkan. Dua lagi checkpoint adalah pada Jun 2025 untuk perjanjian akhir yang merangkumi pelan perpindahan pegangan dan satu lagi checkpoint adalah pada Ogos 2026 iaitu penubuhan syarikat pegangan yang akan disenaraikan di Tokyo Stock Exchange Prime Market.

Entiti automotif ketiga terbesar dunia bakal dilahirkan

Sekiranya penggabungan selesai, dijangkakan yang gabungan Honda, Nissan, dan Mitsubishi akan wujudkan syarikat automotif ketiga terbesar di dunia berdasarkan unit jualan. Dua entiti automotif yang duduki tempat pertama dan kedua masing-masing ialah Toyota dan Volkswagen.

17

Dalam sidang media yang sama, Honda memaklumkan yang gabungan ini menjangkakan jualan tahunan sekitar USD191 billion dengan keuntungan melebihi USD19 billion.

Ada yang melihat pengumuman ini dibuat secara terburu-buru melihat pada tarikh sidang media yang dua hari sebelum cuti perayaan Krismas. Khabar angin mengatakan yang terdapat tekanan daripada pihak kerajaan Jepun untuk mempercepat penggabungan ini.

Nissan kini sedang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka baru-baru ini merancang untuk buang 9,000 kakitangan, kurangkan kapasiti pengeluaran sebanayk 20% dan jual sebahagian syarikat kepada Mitsubishi. Bukan setakat itu, Foxconn, syarikat pengeluar iPhone yang terkenal dilapor mengintai peluang untuk membeli Nissan.

Maka, untuk memastikan Nissan tidak terlepas kepada entiti luar, perbincangan sedemikian perlu dipercepat.

Keadaan Honda & Nissan di Malaysia

Di Malaysia, statistik jualan kereta tahun 2023 menunjukkan yang Nissan satu-satunya jenama Jepun yang ada pegangan pasaran kurang daripada 2% dan lebih malang, pegangan itu turun berbanding 2022 sebanyak 0.6%. Untuk tahun 2023, nissan hanya jual 10,000 unit kereta dalam pasaran kita.

Dua jenama Jepun paling kukuh di Malaysia ialah Honda dan Toyota, masing-masing menjual lebih 106 ribu dan 80 ribu unit. Walaupun angka tersebut menurun, sekurang-kurangnya mereka ada pegangan pasaran melebihi 10%.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top